BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 18 Ogos 2009

KISAH ABU HURAIRAH DENGAN IBUNYA

Abu Hurairah adalah tergolong dalam sahabat Rasulullah s.a.w. yang terkenal sebagai seorang tokoh yang paling banyak meriwayatkan hadis-hadis. Suatu perkara yang paling merunsingkan hati Abu Hurairah ialah keengganan ibunya memeluk agama Islam. Abu Hurairah pernah berkata :

" Saya selalu mengajak ibu supaya memeluk agama Islam, tetapi dia menolaknya. Suatu hari dia telah mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar terhadap Rasulullah s.a.w. hingga menangis lalu saya mengadukan hal tersebut kepada Nabi s.a.w. Kata saya Ya Rasulullah, saya menyeru kepada ibu saya supaya dia memeluk agama Islam tetapi dia menolaknya. Saya telah mendakwahkan Islam itu kepada ibu saya tetapi dia membalasnya dengan kata-kata yang tidak patut terhadap engkau (Rasulullah) . Maka engkau doalah dia semoga Allah memberi petunjuk kepada ibu saya agar dia masuk Islam".

" Maka Nabi Nabi s.a.w. pun menjawab:

" Ya Allah , berilah petunjuk kepada ibu Hurairah".

Dan sesudah Rasulullah berdoa Abu Hurairah pun segera pulang ke rumah. Kata Abu Hurairah lagi "Apakala aku sampai ke pintu rumah aku dapati pintu itu tertutup, dan apabila ibuku mendengar bunyi tapak kakiku dia pun berseru , "Tunggu sebentar Abu Hurairah". Di masa itu aku terdengar bunyi simbahan air, dan apabila ibuku telah selesai mandi dan memakai pakaian dia tergesa-gesa berlari unutk membuka pintu seraya berkata: Hai Abu Hurairah aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang wajib aku sembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Sebaik sahaja aku mendengar percakapannya itu aku terus pergi mendapatkan Rasulullah s.a.w. sambil menangis kegembiraan, lalu baginda memuji Allah serta memberikan kata-kata nasihat kepadaku".

Begitulah berkatnya doa Rasulullah s.a.w. Dan ini adalah satu contoh yang terbaik bagaimana berkatnya pula doa dari seorang anak yang soleh yang bersifat ikhlas dan taqwa terhadap Allah s.w.t. Allah maha berkuasa untuk memberikan petunjuk kepada siapa sahaja yang di kehendaki.

0 ulasan: