Pada suatu ketika Nabi s.a.w. sedang bejalan beliau melintas di hadapan rumah seorang wanita. Setelah dekat, tahulah Nabi bahawa wanita itu ternyata seorang ibu yang tengah menangis meratapi atas kematian anaknya. Si ibu menangis meraung-raung sehingga suara tangisan terdengar ke mana-mana.
Maka ketika berdepan dengan ibu, Nabi kemudian bersabda : " Bersabarlah wahai ibu!" Mendengar suara yang ditujukan kepadanya, ibu itu secara langsung memandang kepada Nabi dengan tidak sedar berkata dengan nada ketus dan masih menangis: " Engkau tentu sahaja boleh berkata demikian kepadaku, sebab yang mati bukanlah anakmu !"
Mendengar jawapan ibu tersebut, Nabi tidak marah; beliau kemudian melanjutkan perjalanannya.
Selang beberapa waktu, seseorang yang tanpa disedari mengamati perbincangan ibu tersebut dengan Nabi, datang menghampiri si ibu. Ia bertanya: "Apakah yang dikatakan orang itu kepadamu?" " Ia seenaknya menyuruhku bersabar," jawab sang ibu.
"Lalu apa yang engkau katakan kepadanya?"
"Aku katakan, bahawa dia boleh berkata demikian kerana yang mati bukan anaknya".
"Mengapa engkau berkata begitu kepada Nabi?"
"Astaghfirullah....aku telah khilaf......," kata ibu itu terhenyak.
Ibu itu seketika menjadi menyesal telah memberikan jawapan yang tidak layak. Setelah tenang kembali, ia pun segera mencari dan mengadap Nabi. Kepada Nabi ia berkata: "Maafkan saya wahai Rasulullah, kerana saya telah berlaku tidak sopan kepada anda. Tetapi sungguh, masa itu saya benar-benar dalam keadaan terpukul kerana kematian anak saya. Kini saya telah menjadi tenang, dan saya akan bersabar."
Nabi pun kemudian bersabda: "Ketahuilah wahai ibu, bahawa inti kesabaran adalah pada pukulan pertama." (maksudnya: seorang itu dituntut untuk bersabar justeru pada saat ia pertama kali mendapat musibah, bukan setelah hatinya menjadi tenang dan fikirannya menjadi tenang.)
Begitulah hakikat kesabaran yang diajarkan oleh baginda Nabi s.a.w.
Resep Roti
4 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan