BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 16 Ogos 2009

BERKAT BERKATA BENAR

Pada suatu hari seorang ulamak terkenal yang bernama Hassan Basri telah melarikan diri dari dikejar oleh tentera Hajjaj bin Yusuf yang terkenal sebagai orang yang bengis dan kejam.

Oleh kerana dia terlalu ketakutan lantas dia terusn berlari dan masuk ke rumah sahabatnya yang bernama Habib Ajmi. Dalam keadaan tercunggap dia memberitahu kepada Habib Ajmi keadaan sebenar lantas Habib Ajmi menyuruh dia berlindung di sebalik pintu rumahnya. Tidak lama kemudian datanglah tentera Hajjaj yang lengkap bersenjata berhenti di rumah Habib Ajmi lalu mereka pun tertanya:

" Hai orang tua. Adakah engkau nampak Hassan AlBasri"

Kebetulan Habib sedang berdiri di muka pintu menjawab:

"Ya.......ada" katanya singkat.

Hassan Basri yang terdengar jawapan sahabatnya itu berasa takut dan berdebar-debar memikirkan kenapa Habib berterus terang mengatakan dia berada di situ. Hassan Basri menggigil ketakutan jika dia di tangkap oleh tentera Hajjaj itu. Dia dapat membayangkan bagaimana dia akan disiksa jika dia ditangkap. Kemudian dia terdengar tentera Hajjaj menaiki rumah itu untuk mencari dia. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah itu mereka tidak menjumpai sesiapa. Lantas mereka menuduh Habib mempermainkan mereka.

Oleh kerana mereka tidak menjumpai sesiapa maka mereka mencaci Habib sebagai pembohong besar. Tetapi Habib bersumpah bahawa orang yang mereka cari itu ada di dalam rumahnya. Kemudian mereka masuk sekali lagi ke dalam rumah itu namun mereka tetap tidak berjumpa dengan sesiapapun. Akhirnya mereka pun pergi dari rumah itu.

Kemudian ulamak Hassan Basri pun keluar dari sebalik pintu dirumah sahabatnya itu maka dia pun berkata kepada Habib bahawa dia terselamat dari dijumpai oleh tentera Hajjaj itu adalah kerana berkat doa sahabatnya. Kemudian dia pun bertanya kepada sahabatnya kenapa dia memberitahu yang dia ada di dalam rumah itu. Maka Habib pun menjawab:

" Wahai Sahabatku Hassan Basri . Sebenarnya bukanlah kerana berkat doaku maka engkau terselamat sebaliknya ia adalah kerana berkat kejujuranku berkata benar. Sekiranya aku berbohong kepada meereka sudah pasti engkau dan aku akan ditangkap dan kita berdua akan mendapat malu yang sangat besar."

Begitulah contoh tauladan keberanian orang yang beriman. Kerana kuat iman dan ketaqwaannya kepada Allah itulah maka Allah telah menyelamatkan sahabatnya itu dari ditangkap oleh pemerintah yang zalim.


0 ulasan: